NILAI: Sebanyak RM650 juta daripada keseluruhan RM1.4 bilion peruntukan bagi menambah baik bangunan sekolah daif di seluruh negara akan diagihkan kepada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bermula minggu ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata ia termasuk perbelanjaan membaiki kemudahan tandas yang sentiasa menjadi keutamaan, sekali gus memberikan keselesaan kepada pelajar dan semangat untuk mereka hadir ke sekolah.

"Pelaksanaan segera...Kita dah ada senarai semua, sekolah mana, berapa banyak...yang penting Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan memastikan pelaksanaan bagi baik pulih bangunan daif di sekolah disegerakan.

"Daripada jumlah itu, setiap sekolah peroleh RM70,000 untuk penyelenggaraan kecil termasuk tandas, sebab itu juga antara fokus Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau tandas sempurna anak-anak seronok ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Ke-30 Kepimpinan Pendidikan Ke Arah Malaysia MADANI hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion bagi menambah baik bangunan sekolah yang daif di seluruh negara tahun ini.

-- BERNAMA